Gara-Gara Bomoh, Nama Malaysia Busuk Di Mata Dunia? ( Video ).

 
Gara-gara 'Raja Bomoh', sebuah agensi berita Arab, Al-Arabiya telah menyiarkan sebuah artikel yang mengkritik tindakan Malaysia menggunakan khidmat bomoh dalam mengesan pesawat yang hilang itu.

Malah seluruh dunia juga mungkin mentertawakan Malaysia akibat perkara tersebut.

Dikritik media arab 

Terbaru, sebuah portal berita antarabangsa melaporkan sekaligus melabelkan kerajaan Malaysia menggunakan "ahli sihir" sebagai usaha terakhir untuk mencari pesawat tersebut yang masih belum ditemui sehingga ke hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan apabila gambar dan video bomoh 'tikar terbang' tersebar sekaligus menjadi viral dalam media sosial.


Berikutan perkembangan itu, Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin melalui laman Facebooknya telah menulis komen yang membidas sekeras-kerasnya amalan karut dan pertolongan tahyul yang disifatkan beliau sebagai tindakan yang ‘bodoh’.

“Islam melarang karut marut dan tahyul yang membawa kepada syirik, tambah ‘bodoh’ lagi apabila kita menjatuhkan nilai diri sebagai manusia berakal.


"Pelbagai media antarabangsa melapor cerita 'bomoh kartun' di KLIA, seakan mengaitkan aktiviti bomoh dengan budaya kita", luahnya.

Terdahulu, beliau menyifatkannya tindakan membenarkan Raja Bomoh, Ibrahim Mat Zin melakukan upacara perbomohannya sebagai suatu amalan yang “khurafat dan tahyul” dan tidak boleh diterima sama sekali kerana ia bertentangan dengan pemikiran manusia yang waras.


“Dia seolah-olah mengambil kesempatan ke atas tragedi yang berlaku sekarang.. Siapa yang membawanya (untuk tujuan mengesan MH370)? Ianya adalah sesuatu yang malang dan memalukan,” kata Mohd Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia.

Bercakap kepada sebuah portal baru-baru ini, Asri menegaskan, di dalam ajaran Islam, tiada sesiapa yang mengetahui perkara ghaib kerana ianya adalah di luar pengetahuan manusia.


Sementara itu, pendakwah bebas, Ustaz Daud Che Ngah berkata usaha mencari MH370 dengan menggunakan khidmat bomoh adalah tidak sesuai dan dianggap syirik dalam Islam.

Beliau berkata walaupun usaha mencari pesawat MH370 masih di jalan yang buntu, amalan Raja Bomoh telah pun diwartakan haram oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan perkara itu tidak sepatutnya dilakukan, lebih-lebih lagi di khalayak awam.

Katanya hanya dua cara yang boleh membantu para penyelamat menemui MH370 iaitu dengan kembali kepada ajaran Al-Quran.

"Pertamanya adalah dengan menggunakan kepakaran manusia yang diberikan Allah SWT melalui Al-Quran dan dibantu sains dan teknologi.

"Keduanya adalah untuk orang ramai berkumpul dan melakukan solat hajat serta berdoa kepada yang Esa", katanya kepada media.

DUSIT THANI HOTEL THAILAND MALDIVES PHILIPPINES UAE

 
PERINGATAN

Kami tidak bertanggungjawab terhadap komen yang diutarakan dalam laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Komenlah dengan berhemah kerana ia menampakkan keperibadian anda.

0 comments