Miri: Seorang ahli perniagaan membuat laporan polis selepas tidak tahan dengan tindakan sepasang suami isteri warga emas lingkungan 80-an yang menguatkan suara aksi dalam video lucah yang ditonton di televisyen sejak beberapa bulan lalu.
Lelaki berusia 61 tahun dari sebuah taman perumahan, di sini, mendakwa gangguan bunyi bising daripada video lucah itu muncul antara jam 8 malam hingga tengah malam.
Menurut sumber, pasangan suami isteri terbabit dikatakan mempunyai hobi pelik dengan menonton video lucah hampir setiap malam dan menguatkan suara aksi dalam video itu sehingga mengganggu jiran berhampiran.
Katanya, tindakan melampau pasangan terbabit menyebabkan lelaki itu membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.
“Beberapa jiran lain turut mengadu perkara sama serta pernah bertemu dengan pasangan itu supaya menghentikan tabiat mereka atau memperlahankan suara video lucah, namun tidak diendahkan.
“Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu mempunyai masalah mental atau sebaliknya, namun pengadu turut mendakwa pernah dimarahi lelaki berkenaan sebelum ini tanpa sebarang sebab,” katanya.
Dalam kes berasingan, seorang guru wanita terkejut selepas menerima panggilan daripada seorang kakitangan sebuah bank untuk pengesahan transaksi membeli barang kemas melalui kad kreditnya oleh individu tidak dikenali, semalam.
Lebih mengejutkan, apabila mangsa berusia 32 tahun itu dimaklumkan turut mempunyai tunggakan kad kredit lebih RM6,000 walaupun tidak pernah menggunakan kemudahan itu.
Sumber berkata, hasil perbualan dengan kakitangan bank terbabit, mangsa turut diberitahu kad kredit miliknya mula aktif awal Januari lalu dengan kadar had mencecah lebih RM10,000.
“Pemeriksaan awal mendapati, ada kemungkinan identiti wanita itu digunakan individu tidak dikenali atau sindiket tertentu untuk memohon kad kredit tanpa disedari mangsa sendiri.
“Mengesyaki sesuatu tidak kena berlaku mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jurucakap polis mengesahkan menerima laporan daripada ahli perniagaan itu.
DUSIT THANI HOTEL THAILAND MALDIVES PHILIPPINES UAE
0 comments